Baju bau hapak lepas cuci? Punca dan cara hilangkan bau
Baju bau hapak lepas cuci biasanya kerana pakaian lembap terlalu lama. Ketahui puncanya dan cara atasi, dari sukatan sabun hingga mesin basuh anda.
Disemak oleh jingwen.ong@thetrulylovingcompany.com · Diterbitkan 18 November 2026
Baju dah cuci tapi masih berbau? Puncanya biasanya bukan sabun yang kurang wangi, tetapi pakaian yang lembap terlalu lama: terperap dalam mesin, lambat kering kerana udara lembap, atau dicuci dalam mesin yang kotor. Cara mengatasinya: sukat detergen dengan betul, jangan sumbat mesin, bersihkan mesin dan pastikan baju cepat kering.
Kenapa baju berbau hapak selepas dibasuh?
Bau busuk dan kepam terhasil daripada pembiakan bakteria pada fabrik yang lama basah. Satu kajian ulasan penyelidik Universiti Ghent mendapati kelembapan selepas mencuci pakaian dan semasa mengeringkannya ialah faktor penting.
Menurut MetMalaysia, iklim Malaysia bersuhu seragam, berkelembapan tinggi dan banyak hujan. Apabila cuaca tak menentu, ramai menyidai baju di dalam rumah atau di balkoni kondo, jadi baju lambat kering.
1. Terperap dalam mesin basuh
Pakaian basah yang dibiarkan dalam mesin selepas kitaran tamat, apatah lagi semalaman, cepat berbau hapak. Keluarkan dan sidai dengan segera.
2. Lambat kering
Bila baju disidai rapat-rapat dalam bilik tertutup, ia boleh kekal lembap sehari suntuk, dan pakaian yang masih lembap mudah berbau busuk.
3. Mesin terlalu penuh
Pakaian perlu ruang untuk bergerak supaya air dan detergen sampai ke setiap helai. Jika anda terpaksa menekan baju masuk, mesin sudah terlalu penuh.
4. Sukatan detergen tidak tepat
Terlalu sedikit detergen tidak dapat menanggalkan peluh, minyak badan dan sel kulit mati. Terlalu banyak pula sukar dibilas dan meninggalkan sisa yang menyebabkan baju kurang bersih.
5. Mesin kotor
Kotoran dan kulat yang melekat di laci detergen, getah pintu dan penapis, serta air yang bertakung, boleh memindahkan bau ke pakaian anda.
6. Baju berpeluh dilonggok dalam bakul
Baju sukan, baju sekolah dan tuala basah yang dilonggok beberapa hari sudah ada bau masam sebelum dicuci. Sidai dahulu sebelum masuk bakul. Poliester, kain kebanyakan baju sukan, juga lebih mudah memerangkap bau badan berbanding kapas.
7. Dilipat sebelum betul-betul kering
Kolar, pinggang seluar dan poket paling lambat kering. Baju yang dilipat atau disimpan dalam almari ketika masih lembap akan jadi hapak.
Cara menghilangkan bau hapak pada baju
- Basuh semula pakaian berbau hapak secepat mungkin, dalam muatan yang lebih kecil.
- Sukat detergen dengan penutup mengikut saiz muatan.
- Jika label pakaian membenarkan, guna air suam untuk baju sukan dan tuala supaya minyak badan lebih mudah tanggal.
- Keluarkan semuanya sebaik sahaja kitaran tamat dan kibas setiap helai.
- Jemur di bawah cahaya matahari dan angin. Kajian Ghent menyarankan pengeringan yang cepat, sebaik-baiknya di luar rumah.
- Pastikan baju anda kering sepenuhnya sebelum dilipat.
Jika anda rendam pakaian dalam cuka putih, semak label pakaian dahulu. Jangan sekali-kali campurkan cuka dengan peluntur, kerana peluntur bertindak balas dengan asid, termasuk cuka.
Cara basuh baju dengan betul supaya kekal wangi
Nak baju kekal berbau wangi? Mulakan dengan baju yang bersih dan kering, dan sukatan yang betul untuk saiz muatan. Pewangi pakaian dan pelembut menambah wangian, tetapi tidak dapat menutup bau kepam yang sudah meresap ke dalam fabrik.
Berapa banyak Detergen yang perlu digunakan?
Berikut ialah sukatan detergen yang disyorkan mengikut jumlah cucian:
Detergen Cecair Green Laundry Detergent 2L (Green, Tea Rose & Spring Blossom)
Untuk Cucian Mesin:
-
Muatan sederhana: 1 penutup
-
Muatan penuh: 1½ penutup
Untuk Cucian Tangan:
- Tambahkan ½ penutup ke dalam 4 liter air.
Serbuk Detergen Pekat Green Concentrated Laundry Detergent Powder 3kg
Untuk Cucian Tangan:
- Larutkan ¾ penutup dalam 10 liter air.
Untuk Cucian Mesin:
-
Muatan sederhana: 1 penutup
-
Muatan penuh: 2 penutup
Perkara yang Perlu Diketahui:
-
Detergen cecair sesuai untuk mesin basuh muatan atas dan cucian tangan.
-
Untuk mesin basuh muatan hadapan, gunakan Green Concentrated Laundry Powder, Green Babes & Kiddies Laundry Wash atau Green Delicate Wash.
-
Pilih pek isian semula untuk formula yang sama dengan penggunaan plastik yang lebih rendah.
Cara membersihkan mesin basuh supaya baju tidak berbau
- Tanggalkan laci detergen dan pelembut, bilas dan berus celah-celahnya.
- Bagi mesin muatan depan, lap lipatan getah pintu dan buang rambut atau air yang bertakung.
- Bersihkan penapis mengikut manual.
- Jalankan kitaran kosong dengan mod Tub Clean atau Drum Clean, sekerap yang disyorkan dalam manual mesin.
- Selepas setiap basuhan, biarkan pintu atau penutup dan laci terbuka supaya ada pengudaraan.
Cara jemur dan simpan baju supaya kekal wangi
- Jarakkan baju di ampaian atau penyidai supaya ada aliran udara.
- Jika hari panas terik, sidai di luar seawal pagi.
- Ketika hujan, pasang kipas, buka tingkap atau gunakan penyahlembap.
- Terbalikkan seluar jean dan baju tebal supaya angin sampai ke poket dan jahitan.
- Simpan baju-baju dalam almari hanya apabila semuanya betul-betul kering.
Tuala tebal lebih lambat kering, jadi tuala yang berbau kepam memerlukan penjagaan tersendiri.
Untuk elak baju jadi hapak semula, mulakan pada kali seterusnya anda cuci baju: sukat detergen, keluarkan segera dan sidai jarang-jarang.
Dapatkan TLC di AEON, Jaya Grocer, Village Grocer, Lotus's dan pasar raya lain di seluruh Malaysia. Cari kedai berhampiran anda. 100% dividen TLC disalurkan kepada badan kebajikan.




